KHEDN semarakkan Majlis Tadarus Istana Nurul Iman



Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said






BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 27 Februari. - Majlis Tadarus Malam-malam Bulan Ramadan bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Istana Nurul Iman bagi malam kesembilan terus diadakan secara berasingan di Surau Istana Nurul Iman dengan kehadiran kira-kira 700 orang.


Hadir pada majlis berkenaan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, Sembahyang Sunat Tarawih dan Sembahyang Sunat Witir Berjemaah.


Seterusnya, majlis juga diserikan dengan tazkirah bertajuk 'Hidupkan Bulan Ramadan Dengan Asmaul Husna : Ar-Rahim (Yang Maha Penyayang)', masing-masing disampaikan oleh Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa di ruangan jemaah lelaki, manakala di ruang jemaah perempuan disampaikan oleh Dr. Norhazerah binti Baha.


Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan bacaan Tadarus Al-Quran dan kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.


Juga hadir, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ketua Kampung Subok dan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, juga Ketua Kampung Putat, Daerah Brunei dan Muara; Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut; Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), KHEDN, Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar, Korporat dan Perancangan), KHEDN, Dayang Siti Norashikin binti Mohd. Salleh; pegawai-pegawai dan kakitangan dari KHEDN dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.


Close